Sunday, September 23, 2012



Terdapat banyak hadis tentang fadhilat yang terkandung dalam Surah Al Mulk, iaitu: 


1. Mendapat Syafaat 

 Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.” 

 Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.”

 Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” 

 Ulama berkata: ”Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.” 


 2. Menyelamatkan daripada seksa kubur 

 Di dalam kubur orang yang telah mati para malaikat azab datang pada sisi kakinya untuk memberi hukuman. Kakinya berkata; “kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri dalam solat dan membaca Surah Al-Mulk”. Kemudian mereka datang dari sisi dada (hati) dan perut, dan mereka juga terhalang. Kemudian mereka datang dari sisi kepala.

 Pendekata, setiap sendi berkata; “kamu tidak dapat datang dari arah ini kerana orang ini selalu membaca Surah Al-Mulk”. Maka, Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur.

 Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”

 Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.” 

 Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai penganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir”. 

 Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.”

 Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.” 

 Daripada Ibnu Abbas r.a berkata, seorang sahabat Rasulullah SAW telah mendirikan khemah di atas kubur dan beliau tidak tahu ianya kubur. Maka di dalamnya terdengar suara bacaan surah al-Mulk sehingga khatam maka beliau menemui baginda SAW dan berkata : “Wahai Rasulullah SAW, saya dirikan satu khemah di atas satu kubur dan saya tidak tahu bahawa ianya kuburdan saya terdengar seorang manusia sedang membaca surah al-Mulk sehingga khatam. ” Nabi SAW bersabda; “Itulah yang menahan dan menyelamatkan dia daripada siksa kubur.” (HR At-Tarmizi)

 3. Hati Beriman 

 Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya Surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).

 Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.” 

 4. Mendapat Keistimewaan 

 Saiyidina ‘Ali berkata: ”Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.”

 Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Sesiapa mengamalkannya, nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.”

Wednesday, April 4, 2012

kewajipan berdakwah


Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan.

Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan
amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.


Berhubung dengan isu ini,
Imam Said bin Jubair berkata:
“Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.” Iman Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah: “Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?”

Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya
belum mengamalkan segala ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam al-Hasan berkata: “Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang
diserukannya? Syaitan amat menyukai jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.”


Secara dasar, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru nabi bersabda: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah clicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan
hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.
” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Di dalam kitab Dalil al-Falihin disebutkan: “Mencegah kemungkaran dengan hati bermaksud membencinya dengan hati disertai
dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap
individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.
”

Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:
“(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi.”


Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Mas’ud pernah menegaskan: “Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar dengan hatinya.”

Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi
mungkar mengundang azab dan seksaan daripada Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman:

“Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dan kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya.”

Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang
berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang salih yang mengabaikan dakwah.

Monday, April 2, 2012

andai dia bukan jodoh kita..

saat mengetahui dia bukan jodoh kita.. kalau ternyata bukan, jauhkanlah kami dengan hati-hati, jarakkan kami tanpa merasa tersakiti, pisahkan dan bantu kami menemukan pengganti





“Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.” (Hud:9)

Thursday, February 9, 2012

warkah kepada adik-adik daurah

warkah ini merupakan amanatku kepada adik-adik peserta daurah, yang menyertai program Daurah Penghayatan Islam di masjid negeri Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Assalamualaikum…

Kehadapan adikku yang amat kusayangi…

Akhirnya masa yang abang takuti telah tiba. Hari ini adalah hari terakhir kita bersama dalam program daurah ini. Selama 3 minggu kita bersama merupakan detik yang sangat indah bagi abang dan abang akan kenanginya selalu. Segala kenangan suka dan duka kita bersama telah abang pahatkan di sanubari abang, memori itu tidak akan abang lupakan selagi hayat masih di kandung badan.

Setiap pertemuan mesti ada perpisahan,samada perpisahan yang berbentuk kekal atau sementara. Bersiap siagalah untuk menghadapi perpisahan itu, kerana perpisahan yang paling besar apabila nikmat nyawa kita ditarik oleh Sang Pencipta pada suatu masa nanti. Begitu indahnya ukhwah yang kita bina ini kerana segala pertemuan kita telah ditentukan oleh Allah, dan perpisahan kita ini juga merupakan ketentuan Allah. Kita hanyalah manusia yang pandai merancang, tetapi setiap takdir hanya Allah yang menentukan. Mungkin hari ini kita telah ditakdirkan untuk berpisah, tetapi abang mengharapkan perpisahan kita ini hanyalah berlaku di mata, tetapi di hati kita sentiasa bersama.

Adikku,

Segala ilmu yang adik dapat semasa program Daurah selama 6 minggu ini gunalah dengan sebaiknya. Abang percaya ilmu yang adik dapat ini susah untuk ditemui di sekolah atau dimana-mana, adik kena berusaha jika betul-betul ingin mencarinya. Alangkah untungnya remaja-remaja seperti adik semua kerana telah diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT untuk terpilih dalam program ini. Walaupun ada diantara kamu yang dipaksa hantar oleh ibubapa, sekurang-kurangnya kamu tlah mendapat sesuatu yang amat berguna untuk diri kamu. Walaupun tidak banyak, sedikit pun cukuplah untuk bekalan perjalanan hidup adik.

Ingatlah, dunia sekarang begitu besar cabarannya. Begitu ramai remaja-remaja sebaya adik yang telah rosak akhlaknya kerana terpengaruh dan sukakan dunia yang bersifat sementara ini. Jangan pula adik leka dan rasa diri sudah selamat setelah masuk program daurah ini, malahan dugaan yang bakal adik lalui begitu beronak dan panjang lagi. Di jiwa muda inilah adik ingin mencuba sesuatu perkara yang baru, sesuai dengan fitrah manusia yang muda yang suka memberontak. Carilah sesuatu yang positif, yang boleh membawa kebaikan untuk diri sendiri dan islam. Cubalah berfikir secara rasional dan menolak sesuatu perkara yang negative. Adik, ingatlah bahawa inilah permulaan hidup adik yang akan melakar lukisan kehidupan kamu…

Seterusnya, abang ingin mengingatkan adik serta diri abang sendiri tentang adab kita dengan kedua ibu bapa kita serta guru-guru kita. Betapa bertuahnya adik kerana masih mempunyai ibubapa yang begitu sayangkan kamu, mereka sanggup menghantar anak-anak mereka ke program ini dengan harapan mahu melihat anaknya menjadi insane yang berguna. Janganlah kamu sesekali melupakan mereka, balaslah setiap jasa mereka mulai sekarang, dan selalulah berdoa untuk kesejahteraan mereka. Jadilah kamu mutiara yang boleh bersinar di dalam keluarga kamu, gilaplah mutiara itu dengan basuhan ilmu agama yang secukupnya, itulah yang mampu menyelamatkan diri kamu serta keluarga kamu di akhirat nanti.

Begitu jua dengan guru-guru kamu, mereka juga diibaratkan sebagai ibubapa kedua kamu. Jangan sesekali kamu melukakan hati mereka, kerana setiap ilmu yang kamu peroleh tidak akan diberkati jikalau tidak mendapat redhanya. Untuk menjadi insane yang berjaya, adik-adik perlulah memiliki ilmu yang tinggi, serta hormatlah guru kamu untuk mendapat keberkatan untuk ilmu itu.

Tidak dilupakan juga kepada kawan-kawan kamu yang telah kamu kenal sepanjang program daurah ini. Biarlah pertemuan kamu semua berpanjangan selamanya, abang begitu suka melihat keakraban kamu yang selalu bersama ketika sesi modul, dan abang harapkan keakraban yang dipaparkan bukan sekadar modul, tetapi kamu perlu praktikkan dalam kehidupan sebenar kamu. Amat susah untuk mencari seorang sahabat yang betul-betul memahami diri kita. Mungkin sepanjang 6 minggu kamu bersama, kamu sudah dapat mencari sahabat yang boleh bersama kamu ketika senang dan susah.

Abang masih ingat lagi kali pertama ketika kita bertemu dan bersua muka, abang begitu gementar untuk bercakap dengan kamu semua. Abang takut andainya abang tidak diterima oleh kamu. Tetapi abang cuba juga berusaha untuk memberi keyakinan kepada kamu, abang akan sentiasa perbaiki setiap kelemahan setiap kali berhadapan dengan kamu semua. Abang tahu, abang bukanlah orang yang sempurna yang boleh memberi kepuasan kepada setiap seorang dari kamu. Hanya itulah yang mampu abang laksanakan sebagai tanggungjawab abang sebagai fasilitator kamu. Seterusnya, abang hanya mampu berserah dan bertawakal kepada Allah. Mudah-mudahan, setiap apa yang kita lakukan akan diberkati oleh Allah SWT dan semoga kita semua akan mendapat hasilnya nanti.

Adikku yang dikasihi,

Abang berasa begitu bertuah dapat ditemukan dengan kamu semua. Banyak yang dapat abang pelajari dari kamu. Ingin saja abang luahkan apa yang trpendam dihati ini kepada kamu semua, tetapi hanya nukilan kertas ini saja yang mapu abang berikan. Harapan agar kamu sentiasa mengingati segala kenangan kita walaupun detik kita bersama terlalu singkat. Abang juga mewakili fasi-fasi lain ingin memohon ampun dan maaf kepada kamu semua andaikata kami pernah membuatkan anda tidak selesa, meluat dan marah kepada kami. Ingatlah, marrah kami kerana kami sayangkan adik-adik. Marah kami juga adalah kerana kami kasihkan adik-adik semua. Marah bukan kebencian, tapi tanda sayang kami semua kepada kamu.

Sekadar ini saja yang mampu abang coretkan. Semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindunganNya dan akan mendapat mardhatillah. ABANG SAYANGKAN KAMU SEMUA.

Yang benar,
(AMZAR MOHAMAD)


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons