Thursday, February 9, 2012

warkah kepada adik-adik daurah

warkah ini merupakan amanatku kepada adik-adik peserta daurah, yang menyertai program Daurah Penghayatan Islam di masjid negeri Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Assalamualaikum…

Kehadapan adikku yang amat kusayangi…

Akhirnya masa yang abang takuti telah tiba. Hari ini adalah hari terakhir kita bersama dalam program daurah ini. Selama 3 minggu kita bersama merupakan detik yang sangat indah bagi abang dan abang akan kenanginya selalu. Segala kenangan suka dan duka kita bersama telah abang pahatkan di sanubari abang, memori itu tidak akan abang lupakan selagi hayat masih di kandung badan.

Setiap pertemuan mesti ada perpisahan,samada perpisahan yang berbentuk kekal atau sementara. Bersiap siagalah untuk menghadapi perpisahan itu, kerana perpisahan yang paling besar apabila nikmat nyawa kita ditarik oleh Sang Pencipta pada suatu masa nanti. Begitu indahnya ukhwah yang kita bina ini kerana segala pertemuan kita telah ditentukan oleh Allah, dan perpisahan kita ini juga merupakan ketentuan Allah. Kita hanyalah manusia yang pandai merancang, tetapi setiap takdir hanya Allah yang menentukan. Mungkin hari ini kita telah ditakdirkan untuk berpisah, tetapi abang mengharapkan perpisahan kita ini hanyalah berlaku di mata, tetapi di hati kita sentiasa bersama.

Adikku,

Segala ilmu yang adik dapat semasa program Daurah selama 6 minggu ini gunalah dengan sebaiknya. Abang percaya ilmu yang adik dapat ini susah untuk ditemui di sekolah atau dimana-mana, adik kena berusaha jika betul-betul ingin mencarinya. Alangkah untungnya remaja-remaja seperti adik semua kerana telah diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT untuk terpilih dalam program ini. Walaupun ada diantara kamu yang dipaksa hantar oleh ibubapa, sekurang-kurangnya kamu tlah mendapat sesuatu yang amat berguna untuk diri kamu. Walaupun tidak banyak, sedikit pun cukuplah untuk bekalan perjalanan hidup adik.

Ingatlah, dunia sekarang begitu besar cabarannya. Begitu ramai remaja-remaja sebaya adik yang telah rosak akhlaknya kerana terpengaruh dan sukakan dunia yang bersifat sementara ini. Jangan pula adik leka dan rasa diri sudah selamat setelah masuk program daurah ini, malahan dugaan yang bakal adik lalui begitu beronak dan panjang lagi. Di jiwa muda inilah adik ingin mencuba sesuatu perkara yang baru, sesuai dengan fitrah manusia yang muda yang suka memberontak. Carilah sesuatu yang positif, yang boleh membawa kebaikan untuk diri sendiri dan islam. Cubalah berfikir secara rasional dan menolak sesuatu perkara yang negative. Adik, ingatlah bahawa inilah permulaan hidup adik yang akan melakar lukisan kehidupan kamu…

Seterusnya, abang ingin mengingatkan adik serta diri abang sendiri tentang adab kita dengan kedua ibu bapa kita serta guru-guru kita. Betapa bertuahnya adik kerana masih mempunyai ibubapa yang begitu sayangkan kamu, mereka sanggup menghantar anak-anak mereka ke program ini dengan harapan mahu melihat anaknya menjadi insane yang berguna. Janganlah kamu sesekali melupakan mereka, balaslah setiap jasa mereka mulai sekarang, dan selalulah berdoa untuk kesejahteraan mereka. Jadilah kamu mutiara yang boleh bersinar di dalam keluarga kamu, gilaplah mutiara itu dengan basuhan ilmu agama yang secukupnya, itulah yang mampu menyelamatkan diri kamu serta keluarga kamu di akhirat nanti.

Begitu jua dengan guru-guru kamu, mereka juga diibaratkan sebagai ibubapa kedua kamu. Jangan sesekali kamu melukakan hati mereka, kerana setiap ilmu yang kamu peroleh tidak akan diberkati jikalau tidak mendapat redhanya. Untuk menjadi insane yang berjaya, adik-adik perlulah memiliki ilmu yang tinggi, serta hormatlah guru kamu untuk mendapat keberkatan untuk ilmu itu.

Tidak dilupakan juga kepada kawan-kawan kamu yang telah kamu kenal sepanjang program daurah ini. Biarlah pertemuan kamu semua berpanjangan selamanya, abang begitu suka melihat keakraban kamu yang selalu bersama ketika sesi modul, dan abang harapkan keakraban yang dipaparkan bukan sekadar modul, tetapi kamu perlu praktikkan dalam kehidupan sebenar kamu. Amat susah untuk mencari seorang sahabat yang betul-betul memahami diri kita. Mungkin sepanjang 6 minggu kamu bersama, kamu sudah dapat mencari sahabat yang boleh bersama kamu ketika senang dan susah.

Abang masih ingat lagi kali pertama ketika kita bertemu dan bersua muka, abang begitu gementar untuk bercakap dengan kamu semua. Abang takut andainya abang tidak diterima oleh kamu. Tetapi abang cuba juga berusaha untuk memberi keyakinan kepada kamu, abang akan sentiasa perbaiki setiap kelemahan setiap kali berhadapan dengan kamu semua. Abang tahu, abang bukanlah orang yang sempurna yang boleh memberi kepuasan kepada setiap seorang dari kamu. Hanya itulah yang mampu abang laksanakan sebagai tanggungjawab abang sebagai fasilitator kamu. Seterusnya, abang hanya mampu berserah dan bertawakal kepada Allah. Mudah-mudahan, setiap apa yang kita lakukan akan diberkati oleh Allah SWT dan semoga kita semua akan mendapat hasilnya nanti.

Adikku yang dikasihi,

Abang berasa begitu bertuah dapat ditemukan dengan kamu semua. Banyak yang dapat abang pelajari dari kamu. Ingin saja abang luahkan apa yang trpendam dihati ini kepada kamu semua, tetapi hanya nukilan kertas ini saja yang mapu abang berikan. Harapan agar kamu sentiasa mengingati segala kenangan kita walaupun detik kita bersama terlalu singkat. Abang juga mewakili fasi-fasi lain ingin memohon ampun dan maaf kepada kamu semua andaikata kami pernah membuatkan anda tidak selesa, meluat dan marah kepada kami. Ingatlah, marrah kami kerana kami sayangkan adik-adik. Marah kami juga adalah kerana kami kasihkan adik-adik semua. Marah bukan kebencian, tapi tanda sayang kami semua kepada kamu.

Sekadar ini saja yang mampu abang coretkan. Semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindunganNya dan akan mendapat mardhatillah. ABANG SAYANGKAN KAMU SEMUA.

Yang benar,
(AMZAR MOHAMAD)


Wednesday, February 8, 2012

relevenkah aku di hatimu


Ya Rabbul Izzati, jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu.

Ya Allah, jika aku rindu, jagalah rinduku padanya agar tidak lalai aku merindukan syurga-Mu.

Ya Allah, jika aku menikmati cinta kekasih-Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirmu.

Ya Allah, jika Kau halalkan aku merindui kekasih-Mu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepada-Mu


-petikan dari novel "Relevenkah aku di hatimu"

Tuesday, February 7, 2012

menangislah!


Kata ahli Hikmah : ‘Dunia ini dimulai dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan tangis’.

Menangis adakalanya dituntut oleh syariat. Abid yang menyintai Tuhan akan selalu menangis mengenangkan dosanya. Mereka memaksa diri menangis apabila mengenang nasib diri pada hari akhirat dan membayangkan huru-hara apabila menjelang kiamat. Dalam hal ini, menangis adalah dituntut. Setitis airmata yang jatuh kerana takutkan Allah akan dapat memadamkan api neraka di hari akhirat kelak.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah dari tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda yang bermaksud : Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Anas r.a berkata: Pada suatu hari Rasulullah s.a.w berkhutbah, lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis". Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini manusia terus menangis dan menangis, tetapi tangisan mereka amat jauh bezanya dengan tangisan para Nabi, Rasul dan Sahabat. Jika orang soleh zaman dahulu menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat tetapi orang hari ini menangis kerana takut kehilangan dunia. Tangisan ini datangnya dari sifat tamak dan tidak redha. Kalau orang soleh takut berpisah dengan iman dan kecintaannya pada Allah, orang hari ini takut berpisah dengan dosa dan maksiat. Jika para Nabi dan Rasul serta Sahabat takut menghadapi akhirat, orang hari ini seolah-olah berani dan tidak takut menghadapinya. Tetapi bila orang soleh berani menghadapi gelombang hidup duniawi, orang hari ini takut dan lemah hati dalam menghadapi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.

Menangis dan menangislah tapi biarlah kena pada tempatnya yang dibolehkan oleh agama. Apa akan jadi jika kita gagal di akhirat?

Friday, February 3, 2012

salam maulidur rasul 2012

"Sesungguhnya, orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku" - Al-Nasai dan Ibnu Hibban



Alhamdulillah, segala puji kepada Allah yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita, Selawat dan salam buat junjungan besar tercinta Nabi Muhammad SAW, penutup sekalian para nabi dan rasul, penunjuk jalan al-haq dan daie sepanjang jalan.

InsyaAllah,5 Februari 2012 nanti kita akan menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah Saw. Keputeraan Rasulullah dan pengutusan baginda kepada kita merupakan satu nikmat kubra buat umat sejagat. Ini kerana kelahiran baginda memberikan petanda risalah dan penyelamat umat dari dibelenggu arus jahiliyah.

Saban tahun kita menyambut dan mengenang kelahiran baginda SAW. Namun harus kita bertanya kepada benak fikiran kita sejauh mana kita telah mencontohi dan mengimplimentasi pusaka peninggalan baginda SAW di dalam kehidupan kita. Saban tahun juga bermakna Rasulullah SAW semakin jauh dari kita. Namun spirit dan ruh perjuangan baginda tetap membara dalam sanubari kita.

Marilah kita menggali semula mutiara keindahan hidup baginda SAW. Mari kita susuri dan teladani qudwah dakwah dan perjuangan baginda bagi kita memacu semula gerakan pencerahan dan pembangunan semula satu nahdah (peradaban). Biarpun jasad baginda jauh beribu-ribu batu, namun jiwa,perjuangan baginda tetap mekar dan dekat di hati kita.

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul 2012 buat semua teman seIslam terutamanya kepada warga PMH khususnya, dan warga UiTM amnya.Marilah bersama-sama kita junjung kecintaan pada baginda SAW , kita telusuri sirah baginda dan kita lestarikan pancang dakwah dan jihad baginda dalam hidup kita. Kita pintal dan suburkan semula kecintaan kita pada baginda dengan menjadikan baginda ikon terbaik hidup kita.



Kewajipan umat terhadap Rasulullah (dipetik dari buku "Pesanan Rasulullah menjelang wafatnya", karangan Sa'id Ali Al-Qahthani)

1. Beriman kepada Rasulullah

2. Wajib taat kepada Rasulullah

3. Mencontohi perbuatannya

4. Mencintai Rasulullah

5. Menghormati dan menolongnya

6. Berselawat ke atasnya

7. Menjadikan rasulullah sebagai hakim

8. Menempatkan Rasulullah pada kedudukan yang selayaknya

Wednesday, February 1, 2012

Khas untuk wanita



Empat Golongan di Syurga

Nabi s.a.w. bersabda: Empat perempuan berada di syurga dan empat perempuan berada di neraka dan beliau menyebutkan diantara empat perempuan yang berada di syurga ialah:

• Perempuan yg m’jg diri dr p’buatan haram lg b’bakti kpd Allah & suaminya

• Perempuan yg byk keturunannya lg penyabar serta menerima dgn senang hati dgn keadaan yg serba kurang (dlm kehidupannya) b’sama suaminya

• Perempuan yang bersifat pemalu. Jika suaminya pergi maka dia menjaga dirinya dan harta suaminya, dan jka suaminya datang maka ia mengekang mulutnya daripada perkataan yang tidak layak kepadanya.

• Perempuan yg ditinggal mati oleh suaminya dan m’punyai anak-2 yg masih kecil, lalu ia mengekang dirinya hanya utk mengurusi anak-anaknya dan mendidik mrk serta m’p’lakukannya dgn baik kpd mereka dan tidak bersedia kahwin kerana khuatir anak-anaknya akan dipersiakan.


Empat Golongan di Neraka

Sabda Rasulullah : Dan adapun empat perempuan yang berada di neraka ialah

• Perempuan yang jelek (kotor) mulutnya terhadap suaminya. Jika suaminya pergi, dia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya datang maka ia memakinya (memarahinya)

• Perempuan yg memaksa suaminya untuk memberi apa yang tidak mampu

• Perempuan yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar dari rumahnya dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik kaum lelaki)

• Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia tidak senang berbakti kepada Allah dan tidak senang berbakti kepada RasulNya dan tidak senang berbakti kepada suaminya.

Oleh kerana itu seorang perempuan yang bersifat dengan sifat-sifat (empat) ini, maka ia dilaknati termasuk hali neraka kecuali jika ia bertaubat.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons