Thursday, February 9, 2012

warkah kepada adik-adik daurah

warkah ini merupakan amanatku kepada adik-adik peserta daurah, yang menyertai program Daurah Penghayatan Islam di masjid negeri Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Assalamualaikum…

Kehadapan adikku yang amat kusayangi…

Akhirnya masa yang abang takuti telah tiba. Hari ini adalah hari terakhir kita bersama dalam program daurah ini. Selama 3 minggu kita bersama merupakan detik yang sangat indah bagi abang dan abang akan kenanginya selalu. Segala kenangan suka dan duka kita bersama telah abang pahatkan di sanubari abang, memori itu tidak akan abang lupakan selagi hayat masih di kandung badan.

Setiap pertemuan mesti ada perpisahan,samada perpisahan yang berbentuk kekal atau sementara. Bersiap siagalah untuk menghadapi perpisahan itu, kerana perpisahan yang paling besar apabila nikmat nyawa kita ditarik oleh Sang Pencipta pada suatu masa nanti. Begitu indahnya ukhwah yang kita bina ini kerana segala pertemuan kita telah ditentukan oleh Allah, dan perpisahan kita ini juga merupakan ketentuan Allah. Kita hanyalah manusia yang pandai merancang, tetapi setiap takdir hanya Allah yang menentukan. Mungkin hari ini kita telah ditakdirkan untuk berpisah, tetapi abang mengharapkan perpisahan kita ini hanyalah berlaku di mata, tetapi di hati kita sentiasa bersama.

Adikku,

Segala ilmu yang adik dapat semasa program Daurah selama 6 minggu ini gunalah dengan sebaiknya. Abang percaya ilmu yang adik dapat ini susah untuk ditemui di sekolah atau dimana-mana, adik kena berusaha jika betul-betul ingin mencarinya. Alangkah untungnya remaja-remaja seperti adik semua kerana telah diberi ruang dan peluang oleh Allah SWT untuk terpilih dalam program ini. Walaupun ada diantara kamu yang dipaksa hantar oleh ibubapa, sekurang-kurangnya kamu tlah mendapat sesuatu yang amat berguna untuk diri kamu. Walaupun tidak banyak, sedikit pun cukuplah untuk bekalan perjalanan hidup adik.

Ingatlah, dunia sekarang begitu besar cabarannya. Begitu ramai remaja-remaja sebaya adik yang telah rosak akhlaknya kerana terpengaruh dan sukakan dunia yang bersifat sementara ini. Jangan pula adik leka dan rasa diri sudah selamat setelah masuk program daurah ini, malahan dugaan yang bakal adik lalui begitu beronak dan panjang lagi. Di jiwa muda inilah adik ingin mencuba sesuatu perkara yang baru, sesuai dengan fitrah manusia yang muda yang suka memberontak. Carilah sesuatu yang positif, yang boleh membawa kebaikan untuk diri sendiri dan islam. Cubalah berfikir secara rasional dan menolak sesuatu perkara yang negative. Adik, ingatlah bahawa inilah permulaan hidup adik yang akan melakar lukisan kehidupan kamu…

Seterusnya, abang ingin mengingatkan adik serta diri abang sendiri tentang adab kita dengan kedua ibu bapa kita serta guru-guru kita. Betapa bertuahnya adik kerana masih mempunyai ibubapa yang begitu sayangkan kamu, mereka sanggup menghantar anak-anak mereka ke program ini dengan harapan mahu melihat anaknya menjadi insane yang berguna. Janganlah kamu sesekali melupakan mereka, balaslah setiap jasa mereka mulai sekarang, dan selalulah berdoa untuk kesejahteraan mereka. Jadilah kamu mutiara yang boleh bersinar di dalam keluarga kamu, gilaplah mutiara itu dengan basuhan ilmu agama yang secukupnya, itulah yang mampu menyelamatkan diri kamu serta keluarga kamu di akhirat nanti.

Begitu jua dengan guru-guru kamu, mereka juga diibaratkan sebagai ibubapa kedua kamu. Jangan sesekali kamu melukakan hati mereka, kerana setiap ilmu yang kamu peroleh tidak akan diberkati jikalau tidak mendapat redhanya. Untuk menjadi insane yang berjaya, adik-adik perlulah memiliki ilmu yang tinggi, serta hormatlah guru kamu untuk mendapat keberkatan untuk ilmu itu.

Tidak dilupakan juga kepada kawan-kawan kamu yang telah kamu kenal sepanjang program daurah ini. Biarlah pertemuan kamu semua berpanjangan selamanya, abang begitu suka melihat keakraban kamu yang selalu bersama ketika sesi modul, dan abang harapkan keakraban yang dipaparkan bukan sekadar modul, tetapi kamu perlu praktikkan dalam kehidupan sebenar kamu. Amat susah untuk mencari seorang sahabat yang betul-betul memahami diri kita. Mungkin sepanjang 6 minggu kamu bersama, kamu sudah dapat mencari sahabat yang boleh bersama kamu ketika senang dan susah.

Abang masih ingat lagi kali pertama ketika kita bertemu dan bersua muka, abang begitu gementar untuk bercakap dengan kamu semua. Abang takut andainya abang tidak diterima oleh kamu. Tetapi abang cuba juga berusaha untuk memberi keyakinan kepada kamu, abang akan sentiasa perbaiki setiap kelemahan setiap kali berhadapan dengan kamu semua. Abang tahu, abang bukanlah orang yang sempurna yang boleh memberi kepuasan kepada setiap seorang dari kamu. Hanya itulah yang mampu abang laksanakan sebagai tanggungjawab abang sebagai fasilitator kamu. Seterusnya, abang hanya mampu berserah dan bertawakal kepada Allah. Mudah-mudahan, setiap apa yang kita lakukan akan diberkati oleh Allah SWT dan semoga kita semua akan mendapat hasilnya nanti.

Adikku yang dikasihi,

Abang berasa begitu bertuah dapat ditemukan dengan kamu semua. Banyak yang dapat abang pelajari dari kamu. Ingin saja abang luahkan apa yang trpendam dihati ini kepada kamu semua, tetapi hanya nukilan kertas ini saja yang mapu abang berikan. Harapan agar kamu sentiasa mengingati segala kenangan kita walaupun detik kita bersama terlalu singkat. Abang juga mewakili fasi-fasi lain ingin memohon ampun dan maaf kepada kamu semua andaikata kami pernah membuatkan anda tidak selesa, meluat dan marah kepada kami. Ingatlah, marrah kami kerana kami sayangkan adik-adik. Marah kami juga adalah kerana kami kasihkan adik-adik semua. Marah bukan kebencian, tapi tanda sayang kami semua kepada kamu.

Sekadar ini saja yang mampu abang coretkan. Semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindunganNya dan akan mendapat mardhatillah. ABANG SAYANGKAN KAMU SEMUA.

Yang benar,
(AMZAR MOHAMAD)


0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons